Aku sedang
memandu kereta dalam perjalanan ke Ulu Klang , fikiran ku bercelaru, jiwa ku
gelisah dan badan ku penat. Ya Allah berilah aku hikmah kebijaksanaan agar aku
dapat menangani segala permasalahan dalam hidupku ini.
Sambil aku
memandang ke depan melihat keindahan alam…tiba tiba fikiranku melayang
mengimbas kenangan silam semasa aku di tadika dahulu….. Aku bersyukur ibu
bapaku menghantarku di tadika apabila ramai dari kawan kawanku tidak ke sekolah
ketika berusia 6 tahun. Maklumlah Tadika Kemas dan tadika swasta tiada ketika
itu. Lalu aku tersenyum….Subhanallah
sebenarnya aku telah mendapat jawapan persoalan qalbuku.
Sebenarnya
semua yang aku belajar , aku belajar di tadika, dan jika aku dan semua orang di
sekelilingku mengamalkan apa yang diajar oleh guru-guru kita yang penyabar dan
penyayang, InshaAllah hidup kita semua malah masyarakat dan negara kita boleh
menjadi sebuah negara yang aman dan makmur. Barulah aku sedar sebenarnya dari
tadika lagi aku sudah belajar bagaimana untuk hidup bersyariat, bukan di
sekolah menengah mahupun di menara gading.
Guru
tadikaku mengajar aku dan kawan-kawanku untuk:
Ø Berkongsi dan saling menyayangi
Ø Tangan bukan untuk memukul kawan
tapi untuk menulis
Ø Simpan mainan setelah bermain, biar
kemas dan bersih
Ø Minta izin dulu kalau nak pinjam
barang kawan sebelah tu!
Ø Cakap ‘sorry’ ya jika buat kawan
sedih
Ø Basuh tangan tu sebelum makan dan
habiskan makanan ok
Ø Makan makanan yang berkhasiat…jangan
makan gula banyak sangat
Ø Berdosa jika mengambil hak orang
Ø Tak usah menipu tau… nanti orang tak
percaya pada kita
Ø Mari sini semua.. …kita tolong kemas
sama-sama
Mashaa
Allah! Aku rasa semua orang bersetuju dengan aku bahawa perkara-perkara yang
diajar oleh guru-guru kita di tadika kalau kita semua mengaplikasikan dalam
hidup kita seharian, maka hidup kita akan menjadi kehidupan insan yang diredhai
oleh Allah swt. Amalan seperti jujur, amanah, saling berkongsi, berkasih sayang
, bermaafan dan bekerjasama itulah tunggak hidup berkeluarga dan bermasyarakat.
Kini aku
sendiri memiliki sebuah tadika. Kami mengajar anak-anak menyanyi lagu-lagu yang
sangat bermanfaat untuk kehidupan. Lagu’ Incy Wincy Spider’ adalah kegemaranku.
Kerana labah-labah yang bernama Incy Wincy tu mengajar aku untuk bangkit semula
setelah hujan dan ribut melanda, Incy Wincy mengajar aku supaya cuba dan terus
mencuba untuk maju ke atas ,maju ke hadapan walaupun hidup ini dikelilingi
dengan ujian.
Nasyid-nasyid
cintakan Allah dan Rasul juga sentiasa diajar kepada anak-anak kecil di tadikaku.
Senandung lagu makna Al-Fatihah, alunan zikir-zikir munajat diajar kepada anak-anak
muridku agar jiwa mereka tenang . Aku juga mengajar mereka untuk taat kepada
ibu bapa, hormati guru dan orang tua melalui sesi bercerita. Dan aku juga
mendidik mereka agar sentiasa bercakap dengan bahasa yang indah dan positif.
Mashaa Allah, jika anak-anak ini faham dan dapat amalkan lirik kata kata dalam
nasyid yang mereka pelajari “Oh when you feel sad, Oh When you feel bad…say
Lailahailallah ”pasti ianya dapat menjadi panduan hidup mereka agar sentiasa pergi
kepada Allah tika hati melanda kesedihan. Dan jika lidah mereka basah dengan
senandung zikir, pasti jiwa mereka akan sentiasa tenang kerana hanya
dengan mengingati Allah swt jiwa akan
menjadi tenang.
Ada juga
yang anak-anak yang pulang petang, diajar untuk istirehat setelah solat Zuhur
dan juga bangkit disertai minum petang. SubhanaAllah, jika aku boleh amalkan
tabiat demikian …bangun pagi kemudian istirehat sebentar dan ambil masa untuk
menghirup secawan teh, inshaaAllah boleh lagi aku berkhidmat di petang dan di
malam hari, tidaklah badan ku sentiasa dalam kepenatan. Dan jika aku ikut cakap
guru tadikaku untuk sentiasa memakan makanan yang sihat dan seimbang dan
kurangkan makan gula-gula, inshaAllah tiadalah penyakit yang melanda di saat
saat usiaku ini menjangkau usia emas kini.
Di tadika
juga kami para guru mengajar erti kebersihan dan kekemasan. Sebagai seorang
khalifah tanggungjawab kita lah untuk sentiasa menjaga bumi ini supaya indah,
bersih dan jauh dari polusi. Jika anak-anak ini mengamalkan konsep yang diajar inshaa
Allah rumah, kawasan dan negara Malaysia akan sentiasa bersih tanpa sampah yang
dibuang merata-rata. Juga jika para khalifah kecil ni mengamalkan sikap tolong
menolong, kerjasama , berkongsi dan kasih sayang, tidaklah sesekali mereka akan
kesunyian dalam hidup mereka. Mereka akan sentiasa dikelilingi oleh kawan-kawan
yang akan menghormati dan menyayangi mereka. Begitu juga dengan diriku…..
Dalam aku
melayani lamunan fikiran ku, rupa-rupanya aku telah pun sampai ke destinasi.
Keluh-kesah dan risau yang melanda jiwa dan fikiranku, aku gantikan dengan
senyuman, keceriaan dan sikap positif. Aku bertekad akan cuba mengamalkan apa
yang aku belajar dan apa yang aku ajar di tadika sebagai pegangan hidupku dan
amalanku.
Subhanallah….sebenarnya
apa yang aku belajar tentang erti kehidupan , aku belajar dari tadikaku, terima
kasih cikgu kerana sudi mendidikku. Terima kasih Allah kerana sentiasa
bersamaku…..